Thursday, April 28, 2011

UJIAN Itu ANUGERAH

Hidupku kini penuh dengan persoalan yang begitu payah untuk diterangkan.. sehingga kadang-kadang aku rasakan seperti dunia telah sampai ke penghujungnya. Tetapi bila difikirkan kembali, aku hanyalah manusia biasa. Setiap seorang daripada makhluk yang bernama manusia pasti akan diuji dengan ujian daripada Yang Maha Pencipta.
Setiap ujian yang menimpa pasti ada hikmahnya yang tersendiri. Adakalanya kita sedar akan hikmahnya. Tak kurang juga kita tidak sedar apa natijahnya. Allah swt telah menyediakan kita dengann pelbagai pilihan. Semuanya terpulang kepada kita sama ada kita ingin memilih jalan ke kanan ataupun jalan ke kiri. Namun kita perlu ingat bahawa setiap suatu langkah yang kita ambil akan tetap dihitung dan dicatat oleh dua pengawal yang sedia bersama sejak azali hinggalah akhirnya. Siapa? Tidak lain dan tidak bukan adalah Rakib wa Atib….. penjaga setia dengan lembaran amalan manusia.
Ramai daripada kita yang merasakan bahawa ujian ini terlalu menyeksakan sehingga mereka mula menyensong kepada sesuatu yang menyenangkan. Tapi sesungguhnya Allah swt tidak akan sesekali menyeksa hamba-hambaNya. Allah swt tahu segalanya tentang diri kita. Allah swt itu Maha Mengetahui setiap isi alam, tujuh petala bumi dan tujuh petala langit, semuanya dalam perhatian Allah.. kerana Dia Tuhan Pemerintah sekalian alam dan juga isinya.
Allah swt Maha Adil…. sebab itu diuji kita dengan pelbagai ujian. Adakalanya ujian itu kecil sahaja tapi adakalanya Dia datangkan kepada kita ujian yang besar. Semua ini bukan suatu penyeksaan sebaliknya ia adalah suatu hadiah buat kita. Supaya kita dapat meningkatkan tahap keimanan dan ketaqwaan diri kita. InsyaAllah… jika kita mampu untuk menghadapinya dengan tenang dan redha, tahap keimanan dan ketaqwaan kita akan semakin meningkat. Memang pada zahirnya kita tidak sedar.. tetapi percayalah.. jika ia berlaku, kita akan rasa tenang dan aman secara batiniah.. bukan kerana apa.. kerana ia merupakan tonik batin yang sangat mujarab..
Seberat manapun ujian yang kita tempuhi hari ini hanyalah sebahagian sahaja daripada ujian yang menimpa para Rasul wa Ambia’ dan para sahabat mujahiddin dan mukminin yang terdahulu.. jika kita selak kembali lembaran sirah yang berlaku suatu ketika dahulu, mungkin kita akan sedar betapa dahsyatnya ujian yang menimpa mereka.
Sedarlah wahai sahabatku… wahai temanku.. wahai kawanku.. wahai rakanku.. wahai saudaraku… sesungguhnya setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya tersendiri. Janganlah disesali dan mengeluh bila dirimu diuji.. kerana itu tandanya dirimu masih disayangi oleh Yang Maha Mengasihani. Janganlah kita memesongkan hati-hati kita kepada sesuatu yang dimurkai olehNya. Berdoalah kepada Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, semoga kita ditunjukkan dan ditetapkan pada Siratul Mustaqim…
Kerana kita ini hanyalah manusia yang biasa. Tiada yang sempurna.. kita hidup penuh dengan kekhilafan dan kelalaian.. sebab itulah diturunkan kepada Rasulullah SAW surah Al-Ashr (surah-103).
[1] Demi Masa!
[2] Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian -
[3] Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.
Justeru… marilah sama-sama kita berdoa dan bermunajad kepada Allah swt dengan penuh khusyuk, rendah diri dan tawadduk memohon limpah dan rahmatnya keatas kita. Berdoalah semoga di akhir nanti kita akan berada dalam golongan orang-orang yang soleh dan para mujahiddin.. semoga kita semua sentiasa diberkati oleh Allah Tuhan Sekalian Alam, dinaungi tahtah Arasy’.. dibelai dengan cahaya islam.. dan dipancarkan dengan nur iman… moga kita berada dibawah panji nikmat iman dan islam dan moga mendapat syafaat dari Rasul Yang Agung, Rasulullah saw…
Sekian… moga jadi renungan bersama.. InsyaAllah..

No comments:

Post a Comment